Monday, February 13, 2012

Sejarah Sambutan Hari Valentine 14 Februari

   

       


Terdapat beberapa peristiwa sejarah berkenaan tarikh 14 Februari


PERTAMA
Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol pada 14 Februari 1492. St. Valentino merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan tersebut, St. Valentino dianggap sebagai kekasih rakyat.

                                                       
                                                                
KEDUA
Sambutan ini mengaitkan dengan kematian paderi St. Valentino ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentino ini.
                                                        
VERSI PERTAMA
Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa.
St. Valentino sebagai seorang yang kuat berpegang dengan ajaran Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Claudius II.
St. Valentino diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorbanan yang dilakukan oleh St. Valentino ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya.
Malah St. Valentino disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.
Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, dia telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, dia sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu).
Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka iaitu St. Valentino.
VERSI KEDUA
Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin.
Justeru itu, Claudius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St. Valentino menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terharap para pemuda-pemuda Rom secara sulit.
Aktiviti St. Valentino ini akhirnya dapat diketahui oleh Claudius II lalu beliau mengarahkan St. Valentino ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
KETIGA
Valentine’s Day berkaitan dengan pesta sambutan kaum Rom Kuno sebelum kedatangan agama Kristian dinamakan Lupercalia.
Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.
Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom Kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari berikutnya mereka akan melakukan upacara penyembahan dan membuat perarakan secara besar-besaran terhadap dewi cinta mereka.
KEEMPAT
Ada pandangan sejarah juga menyatakan sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung pada musim mengawan yang jatuh pada 14 Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

DALIL DAN HUKUM MERAYAKAN HARI VALENTINE

Allah S.W.T telah berfirman:
A051
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. ( Al-Maaidah 5:51 )
Allah S.W.T telah berfirman lagi:
A022
Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. ( Al-Mujaadalah 58:22 )

Rasulullah S.A.W telah melarang untuk mengikuti tatacara ibadat selain Islam:
“Barangsiapa meniru suatu kaum, maka ia termasuk dari kaum tersebut.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
Bila merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali Valentine, maka tidak disangsikan lagi bahawa seseorang itu telah kafir, sekiranya dia tidak bermaksud demikian maka dia telah melakukan suatu kemungkaran yang besar.
                                                
Menurut Al-Lajnah Ad-Da’imah Lil Buhuts Al-’Ilmiyah Wal Ifta’ (Lembaga Pengkajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi):
 Ia merupakan satu dosa kerana dengan begitu nyata telah bertasyabbuh (menyerupai perbuatan orang kafir dan tidak soleh).
  • Merupakan Hari Raya Nasrani
  • Seharusnya meninggalkannya dan menjauhinya sebagai sikap taat terhadap Allah dan Rasul-Nya.
  • Diharamkan atas setiap muslim untuk membantu menjayakan Hari Kekasih, baik berbentuk makanan, minuman, penjualan, pembelian produk, hadiah, surat, iklan dan sebagainya.
(Fatwa tersebut disalin dari buku Al-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram)
                                             
Asy Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin (Ulama’ Arab Saudi) telah memberi pandangan bahawa tidak boleh merayakan Hari Kekasih kerana:
  • Ia merupakan hari raya bid’ah yang tidak ada dasar hukumnya di dalam syariat Islam.
  • Ia menyebabkan hati menjadi sifat duniawi dan mengejar keseronokan semata-mata.
  • Tidak halal melakukan ritual hari raya, baik dalam bentuk makan-makan, minum-minum, berpakaian, saling tukar hadiah atau pun lainnya.
Penetapan hukum juga telah dijelaskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006. Mesyuarat ini telah memutuskan bahawa:
“Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”

Peringatan Dan Nasihat:

  • Hendaklah setiap Muslim berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam semua keadaan.
  • Hendaklah setiap Muslim benar-benar berwaspada agar tidak terjerumus dalam kesesatan.
  • Hendaklah setiap Muslim kembali kepada Allah dengan memohon petunjuk-Nya dan keteguhan di dalam petunjuk-Nya.
  • Valentine’s Day adalah suatu kelalaian dan merupakan ritual agama lain.
  • Menyampaikan seruan kebenaran adalah kewajipan bagi setiap Muslim
                                          

Benarlah sabda Rasulullah berkenaan peristiwa akhir zaman di bawah ini:
Peristiwa Akhir Zaman, Hadis 5
Hadis Akhir Zaman (5)
Ertinya:
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi S.A.W menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”
Hadith riwayat Muslim.
Keterangan:
Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun gaya hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggakan dalam urusan yang kecil dan perkara yang tidak munasabah. Contohnya; seandainya orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka.
Pada masakini kita dapat menyaksikan sendiri kenyataan sabdaan Rasulullah S.A.W ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru ‘cara hidup’ Yahudi dan Nasrani sama ada secara sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani malah ramai pula di kalangan kita yang menjadi alat dan tali barut mereka.
                                      

No comments:

Post a Comment