Monday, March 4, 2013

Misteri Tamadun Maya yang belum terungkai..



                                  


Setiap bangsa mempunyai tamadunnya yang tersendiri. Sesetengah tamadun itu masih wujud dan kekal sampai ke hari ini. Ada pula tamadun yang sudah lenyap dan tidak dapat dikesan. Yang dapat ditemui ialah tinggalan binaan yang hampir roboh dan bantuan yang menjadi mercu tanda tentang kewujudan penempatan serta tamadun pada suatu masa dahulu. Di antara tamadun yang hampir lenyap ialah Inca dan Maya.

                                        

 Kedua tamadun itu ditemui pada penghujung abad ke-18 oleh para pengembara yang datang dari Sepanyol. Tamadun Maya ditemui dalam hutan tebal di Utara Guatemala. Manakala tamadun Inca pula ditemui di belantara negara Peru. Penemuan runtuhan kota purba itu dianggap sesuatu yang menabjukan. Hal ini kerana tidak ada seorang pun yang menyangka bahawa di tengah-tengah hutan yang tebal, boleh wujud satu tamadun yang begitu hebat dengan bangunan-bangunan dan tugu-tugu yang diperbuat daripada bongkah batu yang besar. Struktur binaannya mengambarkan ketinggian ilmu arkitektual yang dimiliki oleh para penduduknya. Di beberapa permukaan batu, dijumpai tulisan yang pelik. Ukiran di batu pula menunjukkan  bahawa para penduduknya mempunyai kemahiran kesenian dan daya cipta yang tinggi.

                                       

    Ekspedisi saintifik yang pertama untuk mengkaji runtuhan kota purba itu telah dilakukan pada tahun 1881. Rombongan itu diketuai oleh Alfred Maudslay, yang berbangsa Inggeris. Di kawasan berhampiran dengan runtuhan kota itu, tinggal satu suku kaum Indian yang dikenali sebagai kaum Maya. Daripada ukiran dan tulisan yang terpahat di runtuhan kota itu, para arkeologi mendapati bahawa tamadun itu telah wujud sejak 300 hingga 800 tahun sebelum  masihi. Berdasarkan kepada penemuan pelbagai artifak di runtuhan kota itu seperti pinggan mangkuk, mereka berpendapat kaum Maya telah tinggal di kawasan itu ratusan tahun lebih awal. Mereka juga menemuai periuk, kepingan emas, dan permata yang ditanam dalam kubur yang terletak di bawah kuil. Ukiran pada pinggan, mangkuk, periuk dan permata amat halus serta dilakukan dengan penuh teliti. Lukisan-lukisan di dinding pula memberikan gambaran tentang kehidupan orang Maya dan penduduk pada masa itu iaitu mengenai peperangan, mesyuarat, upacara keagamaan, pakaian ahli agama, dan gambar tuhan-tuhan yang disembah.

                                          

    Turut ditemui ialah gudang-gudang simpanan makanan. Di antara makanan yang ditemuai ialah bijirin seperti gandum. Yang lebih menghairankan ialah bijirin tersebut mempunyai persamaan dengan bijirin yang ditemui di dalam piramid yang terletak di Mesir. Penemuan ini membingungkan para pengkaji khususnya mengenai hubungan dan perkaitan di antara tamadun Maya dan Mesir. Beberapa teori dan hipotesis telah dikemukakan untuk menjawab persoalan ini. Pendapat pertama menyatakan bahawa kaum Maya berasal dari Mesir. Mereka berhijrah dan merantau dengan belayar ke Amerika Tengah. Mereka membawa bersama-samanya segala ilmu pengetahuan mengenai pembinaan kota dan kuil. Struktur binaan tamadun Maya didapati mempunyai banyak persamaan dengan tamadun Mesir. Hal ini menguatkan keyakinan para pengkaji bahawa kaum Maya mempunyai pertalian dengan para penduduk Mesir purba.

                        
    Bangunan yang terdapat di runtuhan kota itu lebih menyerupai menara-menara kawalan sama seperti binaan piramid. Dengan keadaan hidup kaum Maya yang agak primitif maka adalah sesuatu yang mustahil mereka boleh membina menara dan tugu yang diperbuat daripada susunan bongkah-bongkah batu. Apatah lagi bongkah batu yang besar dengan bertan-tan beratnya. Jadi, bagaimanakah kaum Maya membina bandar-bandar mereka sedangkan mereka tidak mempunyai peralatan yang selengkapnya? Lebih menarik lagi, kaum Maya didapati sudah tahu mengira sehingga angka juta dan merupakan manusia pertama yang menggunakan angka kosong dan kiraan. Ternyata mereka sudah menguasai ilmu matematik. Bangunan yang dibina bukan sekadar dijadikan sebagai tempat tinggal para raja dan pemerintahnya tetapi juga untuk upacara keagamaan dan ritual tertentu.

                      

    Namun, yang nyatanya kaum Maya memiliki tamadun yang jauh lebih tinggi daripada masyarakat lain yang hidup sezaman dengannya. Mereka sudah pun menguasai ilmu astronomi dan mengkaji perjalanan bintang-bintang di langit. Kaum Maya juga sudah mengetahui mengenai masa yang diambil oleh planet Venus untuk beredar dan kembali semula ke lokasi asalnya. Mereka juga membuat ramalan dan mempunyai cacatan mengenai kejadian gerhan. Mereka membuat kalendar yang terdiri dari lapan belas bulan dengan setiap bulan mengandungi dua puluh hari serta satu bulan yang mempunyai lima hari sahaja. Walaupun tidak ada penjelasan yang benar-benar menyakinkan tetapi para pengkaji bersetuju bahawa sesuatu telah berlaku pada tamadun Maya sehingga menyebabkan segala pencapaiannya musnah begitu sahaja. Segala-galanya berlaku pada awal tahun 800 selepas masihi di mana dengan secara mendadaknya segala aktiviti harian terhenti. Bangunan batu tidak lagi didirikan dan kerja-kerja mengukir ditinggalkan separuh jalan.

                     

    Di dalam kota besar tamadun Maya, dijumpai beberapa buah bandar yang lain. Kesemua bandar tersebut mencatatkan tarikh bangunan yang sama antara tahun 800-900 selepas masihi. Para pengkaji percaya pada masa itu, para penduduknya telah mengadakan pepindahan secara besar-besaran keluar daripada kawasan itu. Kenapakah mereka berpindah dan di manakah kaum Maya berpindah? Persoalan ini masih menjadi satu misteri. Ada pengkaji berpendapat perpindahan itu disebabkan oleh jangkitan wabak penyakit seperti malaria dan penyakit kuning. Ada pula yang mengatakan bahawa ancaman alam dan kebuluran menyebabkan keruntuhan tamadun itu. Mereka berpindah kekawasan yang lebih subur.

No comments:

Post a Comment