Thursday, December 12, 2013

Sejarah Pulau Besar Melaka


Pulau Besar dikenali sebagai pulau keramat, pulau misteri merupakan pulau yang yang terletak di negeri Melaka, Semenanjung Malaysia. Pulau Besar terletak di Selat Melaka, kira-kira 3 batu nautika dari Bandar Hilir, Melaka. Sejarah bermula penyebaran Islam bertapak di pulau ini dibawa oleh Sultanul Aarifeen Syeik Sayyid Ismail bersama gurunya Syeikh Yusuf Siddiq. Beliau mempunyai ilmu yang tinggi dalam Islam.

Menurut riwayat sewaktu beliau ke Madinah menziarah makam Nabi, beliau telah didatangi satu suara yang menyuruh beliau mengembangkan ilmu Islam di kepulauan Jawa. Sebagai seorang yang taat kepada agama beliau menunaikannya dan beliau telah mengembara dan akhirnya tiba di Pulau Besar bersama-sama dengan 16 orang ahli dalam kumpulannya. Di antara orang yang penting dalam kumpulan itu ialah gurunya Yusuf Siddiq dan saudaranya As Sayyid Ibrahim.


Sekarang makam Sultanul Aarifeen terus dikunjungi orang ramai. Selain dari niat untuk ziarah mereka juga datang dengan pelbagai hajat. Melalui keberkatan Sultanul Aarifeen mereka bertawasul untuk memakbulkan hajat dari Allah s.w.t..

Sejarah Perkembangan Islam

Sejarah perkembangan Islam di kepulauan Jawa dan Tanah Melayu yang dibawa oleh Sultanul Aarifeen telah tercatat di dalam kitab yang ditulis oleh Tan Sri Lanang seperti Hikayat Tamindari, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Deman, dan lain-lain lagi.

Di kepulauan Jawa pula kisah-kisah Wali Songo yang terkenal itu sering diceritakan oleh orang-orang tua kita dan kini ada pula filem melakunkan watak-watak wali songo itu. Wali Songo datang ke Pulau Besar untuk belajar ilmu dengan Sultanul Aarifeen sehingga tamat dan menyebarkan agama Islam ke kepulauan Jawa. Mereka memperolehi keramat ketika hidup mereka berkat ajaran yang dibawa oleh Sultanul Aarifeen.

Sebenarnya Pulau Besar adalah pusat penyebaran agama Islam pada zaman itu dan pusat pelbagai ilmu agama. Di sini orang yang datang mendapat keberkatan untuk dibawa pulang ke tanahair masing-masing.





Perigi di kaki pulau


Perigi ini dipercayai digunakan oleh tentera Jepun untuk memancung kepala orang-orang Cina. Kepala yang telah dipancung akan dilemparkan ke dalam perigi ini. Perigi ini tidak pernah digunakan orang sehingga sekarang.

Di kawasan sekitar perigi ini merupakan kawasan Panglima Hitam. Wajah serta anggota tubuhnya dipercayai berwarna hitam. Di kawasan ini juga merupakan salah satu tempat yang amat keras terutamanya pada waktu senja. Pernah suatu ketika dahulu sepasang kekasih duduk berdua-duaan di kawasan ini dan wanita tersebut diserang histeria.
Sehingga kini, sesiapa sahaja yang bukan muhrim dilarang sama sekali ketika waktu senja duduk berdua-duaan di kawasan ini.

Batu belayar

Sebuah batu yang sederhana besar berbentuk seperti kepala kuda. Batu ini dikatakan pada asalnya terletak di dalam laut. Kemudian ia terapung-apung di dasar laut dan tersangkut di pulau ini.

Dipercayai batu ini juga digunakan oleh 7 beradik untuk mengikat tali kapal mereka sebaik sahaja mereka berlabuh di Pulau Besar ini.
Kini batu ini masih jelas kelihatan sebaik sahaja sampai di pulau ini. Ia terletak berhampiran dengan Jeti Pulau Besar.

Batu Tengkorak

Batu ini terletak di kawasan Pandanusa Golf Club dan berhampiran dengan pantai. Jika dilihat dengan teliti, batu ini seakan-akan menyerupai tengkorak manusia dan terdapat kesan belahan empat segi yang dipercayai telah dibelah oleh orang dahulu kala untuk mendapatkan harta karun di dalamnya. Namun usaha mereka gagal dan mereka menampal semula batu tersebut.

Batu ini juga pernah dirancang untuk diletupkan tetapi usaha itu hanyalah sia-sia sahaja kerana batu itu sedikitpun tidak terbuka.Sehingga kini, sesiapa sahaja yang bukan muhrim dilarang sama sekali ketika waktu senja duduk berdua-duaan di kawasan ini.

Keramat Masin Tawar

Sebuah lopak air yang seakan-akan menyerupai perigi lama yang terletak berhampiran dengan pantai. Apabila air laut surut, airnya akan menjadi tawar. Dipercayai suatu ketika dahulu, perigi ini digunakan untuk mendapatkan harta karun. Keramat ini dijaga oleh seorang puteri bunian yang bernama Puteri Nilam.

Airnya dikatakan mempunyai pelbagai azimat yang tertentu samada untuk dijadikan minuman, mandi atau untuk dibuat pelaris. Dipercayai juga, jika niat tidak baik kita tidak akan merasai air yang tawar meskipun air laut telah surut.

Istana Bunian

Terletak di tengah-tengah perkampungan bunian. Sebuah kawasan tanah tinggi yang tidak dapat ditolak oleh jentera biasa. Kawasan ini ingin dimajukan oleh pihak Marina Resort tetapi sehingga kini projek itu tidak dapat diteruskan.

Menurut sumber dari pihak pengurusan Marina Resort, jentolak yang ingin menolak jentera tersebut telah meletup sewaktu kerja-kerja meruntuhkan tanah tersebut sehingga menyebabkan pemandunya meninggal dunia.

Perkampungan bunian

Sebuah kawasan yang terdapat di Marina Resort dan dipercayai
satu perkampungan orang-orang bunian. Kawasan sebenarnya ingin dimajukan tetapi disebabkan masalah ekonomi dan masalah jerebu yang melanda pada tahun 1997-1999, maka pembinaannya tidak dapat diteruskan.kawasan tersebut juga terdapat telaga dan tasik bunian. Telaga tersebut juga dipercayai merupakan telaga pertama di pulau hasil munajat Sultanul Aarifeen bagi mendapatkan bekalan air tawar sehingga kini malah air tersebut juga apabila di minum amat menyegarkan.

Menurut cerita, sebenarnya terdapat sejumlah 146 buah kampung orang bunian di kawasan Pulau Besar ini tetapi kawasan ketara yang boleh dilihat hanyalah di kawasan Marina Resort ini sahaja.

Perigi Bunian


























Pokok disula


Pokok ini terletak di kelab golf. Menurut apa yang telah diceritakan, dahulu terdapat sepasang kekasih sedang bercengkarama di bawah pokok ini. Maka di atas keterlanjuran mereka itu, mereka telah ditangkap dan di sula di bawah pokok tersebut.
Jika diamati dengan teliti, kita akan dapati tangan kiri lelaki tersebut sedang memeluk pasangannya di bawah pokok tersebut.

Tasik biawak

Sebuah tasik biasa buatan manusia yang terletak di padang golf. Tasik ini dipenuhi dengan biawak-biawak yang luar biasa besarnya. Biawak-biawak ini singgah di tasik tersebut untuk memakan ikan-ikan yang ada di dalamnya.
Di dalam tasik biawak ini juga terdapatnya batu yang berbentuk tengkorak manusia.

Batu Belah

Sebuah batu besar setinggi 3 meter dan mempunyai rekahan di tengah-tengahnya selebar lebih kurang 35 cm dengan kedalaman sejauh 1.5 meter adalah hasil belahan Panglima Lidah Hitam.
Ratusan tahun dahulu, sekumpulan pendekar dan pahlawan menunjukkan kehebatan ilmu masing-masing. Ada yang membelah dan menebang pokok besar dengan sekali cantas dan ada yang membelah bukit dengan sekali imbas dan bermacam-macam lagi. Sehingga pada suatu waktu seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Lidah Hitam merasa tercabar dengan kekuatan kawan-kawannya itu. Beliau menghampiri batu besar tersebut dan menjelirkan lidahnya yang hitam itu lalu membelah batu tersebut.

Masyarakat kini datang ke tempat tersebut dengan membawa pelbagai hajat. Mereka akan masuk ke dalam batu tersebut dengan melalui bahu sebelah kiri dan berjalan secara mengiring kemudian apabila sampai di penghujung rekahan capailah dengan tangan kanan.


Gua Yunus


Nama Gua Yunus diambil sempena nama orang yang pertama menjumpai dan menjadikan gua ini sebagai tempat pertapaan. Sehingga sekarang gua ini masih lagi digunakan orang sebagai salah satu tempat untuk bertapa. Untuk masuk ke dalam gua ini, ahli pertapaan terpaksa menyelam ke dalam air kerana kedudukan pintu gua ini sebenarnya terletak di dalam air. Dipercayai batu dinding gua ini semuanya berwarna putih.

Pemandangan di Gua Yunus




Keramat Ular

Dipercayai keramat seorang wali Allah yang menjelma sebagai seekor ular sawa. Barang siapa yang bernasib baik, dipercayai akan berjumpa dengan wali Allah tersebut yang membawa guni berisi arang. Apabila sampai di rumah, arang itu akan bertukar menjadi barang yang berharga.
Di sekeliling kawasan keramat ular terdapat pokok pandan yang boleh digunakan untuk membuat tikar.

Makam Nisan Satu

Makam ini terletak berhampiran dengan Batu Tengkorak. Keanehannya, makam ini hanya terdapat satu batu nesan sahaja. Ia dipercayai makam seorang pemuda yang berumur dalam lingkungan umur 18-19 tahun yang sangat kacak dan tampan. Namanya tidak dapat dikenalpasti.

Perigi Nenek Musallimah(Perigi Hajat)

Dipercayai seorang nenek yang tertua yang terdapat di Pulau Besar. Beliau juga merupakan seorang dukun dan bidan. Air perigi ini mempunyai azimat yang tertentu seperti untuk menyihatkan tubuh badan, pelaris dan boleh juga digunakan sebagai mandi bunga.

Perigi ini terletak di dalam kawasan Pusat Latihan IMM dan bersebelahan dengan Hotel Chandekura, Pulau Besar, Melaka.

Wali perempuan ini sebenarnya bernama Syarifah Habsah, makam beliau terletak di pulau besar, berdekatan pintu masuk halaman menuju ke surau dan makam Sultanul Aarifeen. Syarifah Habsah adalah puteri iaitu anak perempuan Sultanul Aarifeen As Sayyid Ismail. Beliau sebenarnya mempunyai 3 orang anak, iaitu seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Saudari kandung Syarifah Habsah ialah Syarifah Rodziah, dan makam Syarifah Rodziah terletak di Pekan Melaka.

Batu Lesung

Batu Lesung atau Batu Putih ini merupakan satu batu yang berbentuk seakan-akan lesung. Untuk sampai ke Batu Lesung, orang ramai terpaksa melalui kawasan batu karang ketika air laut surut

Manakala ketika air laut pasang, orang ramai terpaksa meredah air laut untuk sampai ke Batu Lesung ini. Ia terletak di tengah-tengah laut. Dikatakan bahawa pokok yang terdapat di tengah-tengah batu lesung tetap sama saiznya walau pun telah bertahun-tahun lamanya.

Makam 7 beradik

Makam Tujuh beradik yang dimaksudkan ialah tujuh orang bersaudara seperguruan. Mereka ini berasal dari Palembang. Mereka telah datang ke Pulau Besar dengan satu tujuan untuk mengembangkan ilmu persilatan. Setelah diteliti melalui firasat bahawa Pulau Besar ini sesuai untuk dijadikan penempatan dan mengembangkan ilmu persilatan maka mereka membuat keputusan memecahkan dinding kapal mereka untuk dibuat dinding rumah.

























Mereka mempunyai ramai pengikut dari seluruh nusantara. Tujuh bersaudara ini mempunyai ilmu yang sangat tinggi iaitu ilmu dunia dan akhirat. Sepanjang hidup mereka, ramai orang datang untuk mendapatkan pertolongan darinya dan apa yang berlaku adalah dengan keizinan daripada Allah swt.


Makam Seribu














--------------------------------------------------------------------------- ------------------------------

Wakaf Zakat Bonda dan Wakaf 786 adalah dua tempat bagi sesiapa yang ingin membayar nazar atau berakikah atau sebagainya. Pengunjung yang datang akan diberi makan percuma di atas niat pembiayaan nazar, akikah dan sebagainya.

Terdapat Maahad Tahfiz anak-anak yatim Bani Jawi yang baru ditubuhkan dan pembiayaan untuk mereka boleh disalurkan oleh sesiapa yang ingin mendapat keuntungan di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment