Monday, October 31, 2011

Awas!! Blog Agen Dajjal..!!

Bagaimana yang dikatakan blog sebagai agen dajjal?
Sebaiknya kita memahami dahulu apa itu dajjal serta sifat-sifatnya.
Siapa Dajjal
Dajjal berasal dari perkataan ‘dajala’ yang bermaksud menutupi sesuatu ataupun ‘dajlun’ yang memberi maksud penutup.
Berdasarkan Kamus Lisanul-‘Arab ada beberapa pendapat dinyatakan berhubung bagaimana ianya boleh disebut sebagai dajjal. Salah satu pendapat mengatakan bahawa perkataan dajjal itu bererti pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
Ada pelbagai pendapat yang dibahaskan berkenaan dengan rupa bentuk fizikal dajjal dan sehingga kini masih menjadi persoalan samada ianya dari golongan jin ataupun manusia. Pendapat yang paling popular ialah yang mengaitkan dajjal ini sebagai makhluk yang buta sebelah matanya.
Sifat Dajjal
Pelbagai kriteria yang telah diberikan oleh para ulama berkenaan dengan makhluk yang bernama dajjal ini. Betapa bahayanya makhluk ini sehingga dikatakan pada waktu kemunculannya nanti dia akan mengaku bahawa dirinya adalah tuhan semesta alam yang mampu menghidupkan dan juga mengambil nyawa manusia. Bagi mereka-mereka yang rapuh imannya akan mudah terpedaya dengan muslihat jahat dajjal ini. Kehadirannya bukan sahaja memecah belahkan umat bahkan langsung merosakkan akidah yang telah terbina.
Kriteria blog agen Dajjal
Berdasarkan sifat-sifat dajjal yang diutarakan sebelum ini tentunya lebih mudah bagi kita mengenalpasti blog-blog yang disifatkan sebagai agen dajjal. Semestinya blog-blog tersebut membawa fahaman yang mampu memesongkan pemikiran umat Islam seperti menyebarkan ideologi islam liberal, menyelar ibadah-ibadah yang dilakukan umat islam dan yang paling teruk sehingga menghina serta memfitnah agama Islam itu sendiri. Di Negara kita sendiri terdapat beberapa kes berkenaan penulis blog yang membuat tanggapan buruk tentang Islam antaranya :
1) Pada awal Disember 2008, laporan polis telah dibuat kepada sebuah blog yang terang-terangan menghina ibadat haji yang dilaksanakan umat Islam. Bukan itu sahaja, beberapa kandungan di dalam blog tersebut juga ada membentangkan gambaran yang salah terhadap Islam dan umatnya.
2) Pada bulan yang sama terdapat satu lagi blog yang sengaja dicipta untuk menghina keperibadian Rasulullah saw. Lebih memburukkan keadaan, penulis blog terbabit dengan sengaja menggunakan identiti orang lain pada bahagian profil blog tersebut bagi mengelirukan orang ramai.
Sehingga kini ada sahaja blog-blog baru yang muncul dengan pembawaan ideologi yang serupa. Mesej yang di bentangkan oleh mereka sangat membahayakan dan mampu menggugat akidah umat islam apatah lagi generasi seterusnya jika tidak ditangani dengan baik.
Semua ini menjadi cabaran kepada blogger muslim. Kita merupakan duta yang perlu memberikan gambaran yang sepatutnya mengenai agama suci yang dianuti ini. Peliharalah blog kita supaya ianya tidak jauh dari hakikat yang dibawa Islam. Jangan pula kita sendiri yang menjadi agen dajjal laknatullah oleh sebab kandungan blog yang tanpa sengaja mempermainkan hukum Islam.
George Sarton, yang merupakan tokoh sejarah dalam bidang sains pernah mengakui bahawa Islam merupakan peraturan agama yang terbaik tetapi sedikit malang apabila umatnya sendiri tidak menterjemahkan hakikat itu. Antara bait kata-katanya
“Sesungguhnya Islam merupakan peraturan agama yang paling tepat dan indah. Tetapi sangat disayangkan, kerana kaum muslimin sendiri sangat jauh daripada hakikat yang dibawa oleh Islam”

No comments:

Post a Comment